Di dalam Islam, wujud lima tiang seri
yang menjadi asas kepada kekuatannya. Ia dinamakan ‘al-arkan al-Islam’ ataupun
‘rukun Islam’. Lima rukun itu ialah:
1.
Mengucap dua kalimah syahadah
2.
Mendirikan solat lima waktu
3.
Menunaikan zakat
4.
Berpuasa Ramadan
5.
Mengerjakan haji di Baitullah
Huraian:
1.
Mengucapkan dua kalimah syahadah bermaksud kesaksian
terhadap dua perkara. Pertama, hanya Allah SWT sahajalah Tuhan yang wajib
disembah dan ditaati. Kedua, mengakui setulusnya bahawa Muhammad SAW sebagai
nabi dan rasul yang dibangkitkan Allah SWT kepada kita.
Namun, tidaklah cukup jika kita
sekadar mengucapkan dua kalimah syahadah ini, jika tidak memahami maksud dan
tuntutan di sebalik pengucapannya. Bandingannya samalah seperti sighah (ijab
dan kabul) semasa akad nikah dalam perkahwinan. Ucapan yang dilafaz itu,
menatijahkan suatu tanggungjawab maha berat bagi sepasang suami dan isteri.
Pesan Rasulullah SAW: “Daripada
‘Itban bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada
seorang pun yang mempersaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak
disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah lalu ia masuk
neraka ataupun neraka membakarnya.” (al-Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas menjelaskan, mereka yang
mengucapkan dua kalimah syahadah dengan penuh kefahaman dan ketulusan, maka ia
dapat menyelamatkan mereka daripada bakaran api neraka. Sebaliknya, mereka yang
berpura-pura sahajalah, yang akan menjadi bakaran neraka Allah,
wal’iyazubillah!
Ucapan syahadah bukanlah ucapan biasa,
ia disertai dengan tiga perkara yang akan menjadi pembeza iman dan kufur,
iaitu:
1. Dikrarkan dengan lidah
2. Ditasdikkan (diakui) dengan hati
3. Dibuktikan dengan amal
2.
Mendirikan solat lima waktu merupakan kewajipan paling
utama. Ia jelas dipaparkan di dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, misalnya:
“Ajaklah mereka (penduduk Yaman)
menyaksikan (syahadah) bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa aku utusan
Allah. Jika mereka telah mematuhinya, maka ajarkanlah kepada mereka bahawa
Allah mewajibkan mereka solat lima waktu sehari semalam.” (Hadis Daripada Muadz
bin Jabal, riwayat Muslim)
Solat yang dididirikan dengan
sempurna, maka dapat mencegah diri si pelakunya daripada cenderung melakukan
maksiat dan menuruti hawa nafsu seksnya. Firman Tuhan:
“Bacalah apa yang telah diwahyukan
kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat
itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya
mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat
yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Ankabut (29): 45)
3.
Menunaikan zakat apabila cukup segala syaratnya. Zakat
diindikasikan rukun ketiga, kerana ia sering digandingkan dengan solat demi
menunjukkan Islam amat mengutamakan amalan ijtimai (kemasyarakatan) dalam
kehidupan umatnya.
Nabi menyatakan: “Apabila yang
demikian telah mereka lakukan (bersyahadah dan bersolat), sampaikanlah kepada
mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah mewajibkan mereka membayar zakat, diambil
daripada orang-orang kaya lalu diberikan kepada orang-orang fakir,” (Hadis Ibn
Abbas r.a, Riwayat Muslim)
Zakat adalah amalan yang mempunyai
nilai ukhuwwah dan juga solidariti yang tinggi. Zakat juga mempunyai konotasi
pembersihan harta, penyucian jiwa dan peningkatan peribadi yang terpuji. Orang
yang istiqamah menunaikan zakat, maka mereka diberikan keberkatan dalam
kehidupan di dunia dan keuntungan di hari akhirat yang tidak ternilai harganya.
4.
Berpuasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam yang bersifat
mendidik jiwa. Allah SWT sendiri mejamin akan memberikan pahala yang tidak
terhad jumlahnya kepada mereka yang berpuasa, kerana amalan ini bersifat
‘tersembunyi’ dan tidak dapat dilihat seperti solat, haji dan zakat. Hanya
orang berkenaan sahaja yang tahu sama ada dia berpuasa atau tidak, puasa ‘yang
yuk’ atau puasa apa maqamnya.
Rasulullah SAW menukilkan: “Semua amal
anak Adam a.s dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda;
kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t.. dan Dia akan
terus memberikan pahala kepada sekalian (yang mengerjakannya),” (Riwayat
Muslim)
Berpuasa mampu melentur nafsu agar
tunduk kepada Allah SWT. Bahkan puasa juga adalah suatu kaedah paling baik
mengawal perut, kerana di situlah punca segala penyakit.
5.
Menunaikan haji di Baitullah adalah kemuncak
kepada rukun Islam yang lima. Ia menjadi bukti agung keIslaman seseorang, namun
hanya mereka yang mampu sahaja diwajibkan. Dengan menunaikan haji, maka
lengkaplah sudah rukun Islam kita.
Dari Jabir bin Abdullah r.a, katanya: “Kami
pergi haji dengan Rasulullah SAW, bersama-sama dengan wanita dan
anak-anak. Setelah sampai di Mekah, kami tawaf di Baitullah, saie antara Safa
dan Marwah…” (Hadis Riwayat Muslim)
Namun begitu, Nabi SAW sendiri hanya
menunaikan haji sekali dalam usianya. Ini menunjukkan, yang penting bukan
berapa kali ‘naik haji’ melainkan hikmah dan iktibar di sebalik perlakuan haji.
Jika rukun Islam yang lain, lebih lembut dan sederhana sifatnya, namun haji
adalah perlakuan ibadah yang menzahirkan kesepaduan, kekuatan ummah dan
kehebatan individu muslim.
Sebab itulah haji mewajibkan ihram
sebagai busananya, menzahirkan tubuh badan yang sihat dan kuat. Semuanya
berihram, bukti kita ini hakikatnya sama sahaja tarafnya di sisi Allah SWT.
Perlakuan haji juga memerlukan kekuatan tubuh badan, berlarian antara Safa dan
Marwah, melontar ketulan batu, bermalam di Muzdalifah dan sebagainya.
Paling agung, haji adalah kongres umat
Islam sedunia. Tempat saling kenal-mengenali, mencipta kekuatan ummah dan juga
medan pernyataan emosi yang tidak terbatas. Apa lagi yang tidak dinamakan
‘demontrasi’ jika masing-masing mengelilingi Ka’abah dan berarak sambil
mengucapkan talbiyah…Labbaikallahu malabaik!!!
Wallahua’lam.