Tahniah buat PU Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd Haneefa
yang telah diumumkan sebagai juara program Mimbar Pencetus Ummah musim pertama
selepas bersaing dengan tiga peserta lain di pentas akhir yang diadakan
di Pusat Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
sebentar tadi.
Hafiz, 32, yang berasal dari Selangor telah memilih tajuk Pendakwah:
‘Untung Dunia, Untung Akhirat’ sebagai tazkirah untuk pusingan pertama,
manakala tajuk kedua pula iaitu Kehidupan Rasulullah Sehingga Kewafatannya bagi
pusingan kedua dengan tema ‘Cinta Rasulullah’.
Dengan kemenangan PU Hafiz sebentar tadi, dia telah berjaya membawa
pulang sebuah kereta Prius C, wang tunai berjumlah RM50,000, pakej umrah untuk
dua orang, pakej percutian halal ke China dan sebuah trofi.
Kemenangan PU Hafiz diambil selepas dia berjaya menyampaikan tazkirah
dan menjawab soalan yang diajukan dengan baik dan mempunyai pengisian yang
tepat selain mendapat pujian daripada juri tetap pada kedua-dua pusingan.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Shahrul Hamid dengan membawa pulang
wang tunai RM30,000. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohamed Zaini dan
keempat Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, masing-masing membawa RM10,000.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Astro, Tun Zaki
Tun Azmi; Ketua Pegawai Kewangan Astro, Rozaini Mohd Sani dan Ketua Bahagian
Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.
Tiga juri tetap yang mengadili para peserta terdiri daripada Datuk Ustaz
Hassan Mahmud, Ustaz Kazim Elias, dan Habsah Omar (Abby Fana) serta juri
jemputan Datuk Aznil Hj Nawawi.
Selain itu, Mimbar Akhir Pencetus Ummah turut dimeriahkan oleh
persembahan nyanyian daripada artis popular seperti Nazri bekas ahli kumpulan
Raihan, Hijjaz, Aris Ariwatan, dan pengacara undangan Fahrin Ahmad.
Program Pencetus Ummah telah dihoskan oleh Ustaz Dr Ridhuan Tee Abdullah
dan disiarkan secara langsung di Astro Oasis (106).